MALAM NISFU SYAABAN

Selepas maghrib semalam kita menyambut satu malam yang barakah iaitu Malam Nisfu Syaaban. Banyak kita melihat serta terima pelbagai perkongsian daripada semua terutamanya di dalam sosial media berkenaan malam nisfu Syaaban ini. Jadi kenapa agaknya malam nisfu Syaaban ini agak istimewa.

Bulan Syaaban adalah satu bulan yang dipenuhi dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadis sahih kerana hampirnya ia dengan Bulan Ramadhan.

Nisfu adalah dalam bahasa arab yang merujuk kepada setengah atau separuh, jadi maksud Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam nisfu Syaaban adalah malam 15 Syaaban, sebaik sahaja masuk waktu solat maghrib, iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban tahun Hijrah.

Malah pada pertengahannya (Nisfu Syaaban) antara malam dinantikan oleh umat Islam berikutan terdapat dalam hadis mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam nisfu Syaaban.

Jadi adakah ada amalan khusus pada malam nisfu Syaaban ini?

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Baginda SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Syaaban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan seumpamanya.

Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Baginda SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi dinyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Baginda SAW berkaitan malam nisfu Syaaban.

Kesimpulannya, amal ibadah hendaklah sentiasa dilaksanakan tidak mengira pada hari-hari tertentu sahaja. Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa hari penting dan barakah bagi umat Islam tetapi ini tidak bermaksud untuk mengabaikan pelaksanaan amal ibadah seperti membaca al-Quran, solat sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya pada setiap hari atau hari-hari biasa.

Akhir kata, dengan hadirnya malam nisfu Syaaban ini kita secara automatiknya masih mempunyai 15 hari lagi sebelum kita menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak.

Sumber:

https://www.mysumber.com/nisfu-syaaban.html
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban?fbclid=IwAR2QRIEVRfKlwGT86sbjV1th7rNXhkeaYPbwZV_bU3fSoOROvl477PzeHFs

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *