Checklist Menghadapi Bulan Ramadhan

Tidak lama lagi kita bakal menyambut satu bulan yang sangat mulia di antara bulan-bulan lain iaitu Bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan Ramadhan adalah bulan yang mempunyai banyak kelebihan yang tiada di bulan-bulan yang lain. Di antaranya adalah malam Lailatul Qadar, iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan.

Selalunya bila dekat je dengan Bulan Ramadhan kita mesti tertanya-tanya pada diri sendiri, agaknya apa ya perlu kita buat apabila tibanya bulan Ramadhan nanti? Saya pasti kita semua memikirkan perkara yang sama.

Jadi, jom semak persediaan Ramadhan yang kita boleh laksanakan pada tahun ini supaya kita akan merasa bulan Ramadhan kali ini adalah bulan yang terbaik yang pernah kita jalani. InShaAllah.

Jom kita buat semakan apakah persediaan yang kita boleh senaraikan dan tunaikan sebelum kita menyambut Ramadhan tahun ini.

Pertama, taubat. Taubat adalah salah satu perkara yang perlu kita dalami, selidik dan laksanakan sebelum menyambut Bulan Ramadhan yang mulia ini. Ramai yang mengabaikan taubat kerana berfikir taubat ini hanya perlu dilaksanakan setelah melakukan kesalahan besar sahaja. Ini adalah satu tanggapan yang salah kerana taubat sepatutnya diamalkan secara konsisten agar kita sentiasa ingat akan kesalahan yang pernah dilakukan. Manusia tidak sempurna, malah tidak dapat melarikan diri dari melakukan kesilapan dan Allah SWT Maha Mengetahui akan perkara ini. Jadikanlah kesilapan yang lalui sebagai suatu pengajaran dan asam garam kehidupan. Ketahuilah wahai saudaraku bahawa pintu taubat ini sentiasa dibuka.

Kedua, ganti puasa. Boleh buat semakan terlebih dahulu mengenai puasa tahun-tahun sebelum ini samada kita telah menggantikannya atau belum. Sebelum kita pergi lebih mendalam berkenaan ganti puasa ni, mungkin kita perlu buat semakan semula terlebih dahulu mengenai hukum-hukum yang berkaitan seperti pengertian puasa, hikmah berpuasa, rukun puasa dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dijalani tidak menjadi sia-sia. Selesai perkara ini, jadi langkah seterusnya adalah membuat semakan, samada perlu atau tidak kita membayar fidyah atau hanya sekadar menggantikannya sahaja. Ini untuk memastikan puasa yang kita akan jalani ini lebih sempurna. Perlu dititik beratkan bahawa tidak menggantikan atau tidak membayar fidyah adalah hutang kita dengan Allah SWT. Jadi wajib dipastikan bahawa hutang-hutang yang berkaitan dengan puasa ini telah diganti dan dibayar.

Ketiga, amalan sunat. Bagaimana agaknya cara untuk kita boleh pastikan supaya tidak terlepas dari amalan sunat yang boleh dilaksanakan pada Bulan Ramadhan ya? Salah satu caranya adalah membuat senarai. Jadi, untuk memastikan senarai yang dibuat ini adalah betul maka kita perlu mengambil tahu tentang amalan-amalan sunat yang digalakkan ketika melaksanakan puasa. Di antaranya adalah seperti solat tarawih, membaca Al-Quran, bersedekah, membantu golongan yang susah dan seumpamanya. Bagi memastikan kita berada di landasan yang betul, kita juga perlu mengetahui fatwa-fatwa semasa berkaitan dengan permasalahan yang berkaitan dengan puasa.

Keempat, keazaman. Perlu ada sifat keazaman yang tinggi untuk melaksanakan sehabis baik buat Ramadhan kali ini. Keazaman ini perlu di pupuk dan di tanam di dalam diri supaya diri ini sentiasa bersemangat dalam melaksanakan puasa di Bulan Ramadhan. Di sini kita dapat lihat bahawa betapa pentingnya menanam keazaman di dalam hati sepenuhnya. Ini bagi memastikan kita dapat memberi tumpuan sehabis baik dalam menunai amal ibadah di dalam bulan Ramadhan. Beberapa contoh yang boleh disenaraikan adalah seperti, menjaga lidah dari menyebut perkara yang keji, mengumpat dan mencaci. Seperti yang kita sedia maklum, contoh ini adalah sangat susah untuk dikawal, tetapi dengan adanya keazaman yang tinggi maka kita akan memastikan perkara ini tidak berlaku. Selain itu, kita juga perlu mengelak dan mengawal diri dari bergosip tentang benda yaang sia-sia, bermalasan atau bersangka buruk. Lebih baik berdiam diri daripada bercakap perkara yang sia-sia.

Kelima, pembaziran. Kadar pembaziran di bulan Ramadhan tidak dapat di sangkal lagi. Pembaziran yang sering berlaku dan agak merunsingkan lagi apabila masuknya bulan Ramadhan. Tolong jangan membazir wahai saudaraku terutamanya makanan. Di bulan Ramadhan kita semua tahu bahawa bulan ini adalah bulan yang paling banyak makanan. Banyaknya orang membuka gerai seperti di Bazar Ramadhan. Setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza dari segi pemakanan untuk menyempurnakan puasa sepanjang hari. Bulan Ramadhan juga membuatkan kita lebih cenderung untuk membeli lebih banyak makanan terutamanya semasa berbuka atas alasan lapar tapi berakhir dengan pembaziran.

Keenam, kesihatan diri. Pastikan kesihatan diri dalam keadaan yang baik untuk memastikan puasa dapat disempurnakan dengan seeloknya. Bagi mereka yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu, seperti ada tekanan darah tinggi, diabetes atau penyakit lain yang boleh menyebabkan tubuh badan lemah, jangan lupa untuk merujuk dengan doktor terlebih dahulu bagi mendapatkan kepastian dan dibenarkan untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Kita perlu lebih peka dan lebih memahami keadaan tubuh badan kita sendiri sekiranya ingin berpuasa.

Ketujuh, matlamat dalam diri. Menetapkan matlamat yang ingin dicapai di dalam bulan Ramadhan, seperti ingin melaksanakan solat sunat tarawih penuh atau ingin khatam Al-Quran. Ramadhan adalah peluang yang baik untuk menjadi lebih baik dengan apa yang kita ingin laksanakan. Di bulan yang mulia inilah kita perlu berusaha untuk mendekatkan kepada Allah SWT dan menjadi umat Islam yang lebih baik. Teguhkan hati, tetapkan hati dan lakukan apa yang ingin dicapai dalam bulan Ramadhan kali ini dengan matlamat tersebut.

Yang terakhir perancangan awal. Rancang awal dengan menyediakan susunan jadual bagi bulan Ramadhan kali ini. Sebelum menjelangnya Ramadhan, kita perlu merancang beberapa perkara seperti pergi tarawih, khatam Al-Quran, berbuka puasa bersama keluarga dan seumpamanya, supaya Ramadhan kali ini lebih mudah dan lancar seperti mana yang dirancangkan.

Akhir kata, sama-sama kita bertanyakan pada diri sendiri agaknya bagaimana cara nak jadikan Ramadhan kali ini yang terbaik pernah kita jalani. Mungkin dengan melaksanakan segala senarai yang diberikan di atas atau mungkin kita boleh cuba bayangkan Ramadhan yang kita jalani pada tahun ini sebagai Ramadhan yang terakhir. Kenapa? Kerana kita tidak mengetahui samada masih dapatkah kita merasai Ramadhan pada tahun yang akan datang. Wallahua’lam.

“Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai salah satu titik mula bagiku untuk mencari keredhaan-Mu”

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *